Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – “Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya tidak pernah berdendam dengan doktor atau sesiapa, tetapi saya perlu perjuangkan kes ini demi masa depan Hanan.”
Itu luahan Noraisah Ali, 42, ibu kepada Hanan Qaireen Mohd. Fadli, 8, selepas kerajaan diperintah membayar pampasan RM12.19 juta kepada anaknya yang mengalami kecederaan otak ketika proses kelahiran di Hospital Melaka pada 2018.
Akibat kecuaian hospital yang menyebabkan kecederaan otak, kanak-kanak itu disahkan mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia.
Noraisah berkata, perjuangan menuntut pampasan itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan keperluan rawatan, terapi dan peralatan sokongan Hanan dapat dipenuhi sepanjang hayat.
Katanya, kos penjagaan bukan sedikit memandangkan kebanyakan peralatan yang digunakan perlu ditukar mengikut perkembangan fizikal anaknya itu.
“Apabila melihat kos menjaga Hanan yang mencecah ribuan ringgit dan perlu dilakukan secara berterusan, saya terpaksa perjuangkan kes ini.
“Kasut khas sahaja mencecah RM2,000, reverse walker (alat bantuan berjalan) pula antara RM1,000 hingga RM2,000.
“Barang-barang ini tidak boleh digunakan selamanya sebab Hanan semakin membesar, jadi perlu ditukar mengikut keperluan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, Hanan merupakan anak keempat daripada lima beradik dan kelahirannya amat dinantikan selepas dia dan suami, Mohd. Sukri Mahat, 46, menunggu selama tujuh tahun untuk mendapatkan zuriat itu.
Mengimbas kelahiran Hanan pada 18 Februari 2018, Noraisah berkata, dia hadir ke Hospital Melaka pada pukul 9.40 pagi ketika kandungan berusia 39 minggu enam hari selepas mengalami kontraksi sejak pukul 7 pagi.
Katanya, selepas pemeriksaan awal dan dimasukkan ke wad, dia menunggu lebih 12 jam sebelum keadaan berubah apabila air ketubannya pecah kira-kira pukul 11.05 malam.
“Sepanjang tempoh menunggu itu, pemantauan menggunakan mesin Cardiotocography (CTG) bagi memantau denyutan jantung bayi dan kontraksi tidak dilakukan secara berterusan biarpun saya mengalami sakit.
“Sejak pukul 9.40 pagi saya datang, saya tahan sakit sampai pukul 11.05 malam. Bila air ketuban pecah, keadaan mula berubah dan akhirnya doktor membuat pembedahan kecemasan selepas berlaku penurunan kadar denyutan jantung bayi.
“Selepas dilahirkan, Hanan perlukan bantuan pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal selama sembilan hari sebelum disahkan mengalami kecederaan otak,” katanya.
Menurutnya, Hanan kemudian didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia yang menyebabkan pergerakan anggota badannya terjejas selain mengalami masalah pertuturan.
Noraisah turut mengalami kecederaan ketika proses kelahiran apabila rahimnya terpotong sepanjang lima sentimeter secara menegak serta kehilangan darah sebanyak 700 mililiter.
Katanya, ketika doktor memaklumkan perkara itu dan meminta maaf kepadanya, fikirannya hanya tertumpu kepada keadaan Hanan yang dilahirkan dalam keadaan kritikal.
“Hanan kini perlu rawatan dan terapi berterusan termasuk fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan kerana masih belum mampu bercakap,” ujarnya.
Katanya, Hanan turut mengalami sawan sejak kecil akibat komplikasi kecederaan otak dan perlu dipantau rapi termasuk ketika tidur serta makan.
“Pemeriksaan EEG (elektroensefalogram) sebanyak dua kali masih menunjukkan ada sawan.
“Dia juga mengalami tulang belakang membengkok dan masih menjalani terapi,” katanya.
Menurutnya, Hanan kini mengikuti program persekolahan di hospital rehabilitasi di Cheras, Selangor.
Kongsinya, perubahan positif Hanan sejak kecil menjadi kekuatan untuknya terus berusaha apabila anaknya itu yang dahulu tidak boleh duduk atau merangkak, kini sudah mampu berdiri beberapa saat dengan bantuan.
Sebelum ini Hanan hanya mampu menggenggam tangan dan tidak boleh membuka jari, namun selepas menjalani terapi, dia kini sudah boleh memegang pensil serta beberapa barangan.
“Saya akan gunakan wang pampasan itu sebaik mungkin untuk rawatan, pendidikan dan masa depan Hanan. Perjalanan dia masih panjang,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Ayer Keroh memerintahkan kerajaan membayar pampasan RM12.185 juta kepada Hanan selepas mendapati jumlah itu munasabah bagi menampung keperluan penjagaan plaintif.
Ia merangkumi ganti rugi khas berjumlah RM441,754.83, ganti rugi am RM500,000, ganti rugi am masa hadapan RM10,765,969.28 serta ganti rugi teruk RM300,000.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim berkata, jumlah itu jika dibahagikan untuk tempoh 55 tahun hanya bersamaan RM222,000 setahun.
Dalam prosiding itu, mahkamah turut mengambil kira kegagalan pihak kerajaan mengemukakan bukti pakar berkaitan tuntutan kuantum walaupun telah diberikan tempoh dan arahan untuk berbuat demikian.
View this post on Instagram
The post [VIDEO] ‘Tuntut pampasan pastikan rawatan Hanan dipenuhi’ appeared first on Kosmo Online.
