Auto Added by WPeMatico

![]()
‘Bagai langit dengan bumi’
Itulah perumpamaan yang sesuai untuk diberikan kepada skuad bola sepak wanita negara selepas tewas memalukan 0-7 kepada Vietnam pada aksi pertama Kumpulan B temasya Sukan SEA 2025 di Stadium Chonburi, Thailand kelmarin.
Pengendali Malayan Tigress, Joel Cornelli mengakui jurang kualiti yang terlalu besar dengan negara yang menduduki ranking ke-37 dunia itu membuatkan barisan pemain gagal memberikan tentangan yang diharapkan.
“Secara jujur, sudah tentu apabila perlawanan bermula, kita tidak sangka keputusan akan berakhir dengan kekalahan 0-7. Namun, moral pemain dilihat sudah pudar seawal gol pertama pasukan lawan.
“Mereka jaringkan gol terlalu cepat dan keyakinan kami terus hilang. Struktur permainan pun mula goyah hingga kami beri terlalu banyak ruang.
“Kami sedar beza kekuatan dan kualiti antara kedua-dua pasukan dan harus diakui jurangnya terlalu besar,” kata pengendali import dari Brazil itu.
Vietnam selaku juara bertahan langsung tidak memberi ruang apabila meledak empat gol dalam babak pertama melalui Pham Hai Yen seawal minit ke-4 dam m-26, Nguyen Thi Bich Thuy (m-23) dan Tran Thi Hai Linh (m-32).
Kealpaan benteng pertahanan negara terus dihukum apabila Thai Thi Thao meledak jaringan hatrik sekali gus menyukarkan misi pasukan untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Mengulas lanjut, Cornelli mengakui tahap keserasian pasukan lawan begitu ampuh dan jauh berbeza dengan anak-anak buahnya.
“Saya baru enam bulan bekerja di sini dan kami perlukan lebih masa. Vietnam pula sudah lama bersama dan pemain No. 23 mereka (Bich Thuy) sangat hebat,” katanya.
Skuad Malayan Tigress seterusnya akan bertemu Myanmar di venue sama esok sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Filipina, Khamis dengan dua pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.
The post SUKAN SEA: Jurang kualiti punca tewas memalukan appeared first on Kosmo Digital.