Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jemaah haji, Asmah Mansor yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German di Mekah sejak 13 September lalu selamat tiba di Malaysia malam tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan Asmah selamat mendarat di Lapangan Terbang Subang pada pukul 8.15 malam.
“Alhamdulillah, satu perjalanan panjang yang akhirnya pulang ke pangkuan tanah air. Hajah Asmah tiba ke Malaysia selepas menaiki Air Ambulance dari Jeddah, sebuah penerbangan hampir 10 jam yang bukan mudah untuk kondisi kesihatan beliau.
“Pesawat berlepas pada 4.30 pagi waktu Arab Saudi, berhenti seketika di Nagpur pada 10.40 pagi waktu India sebelum kembali terbang sejam kemudian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Mohd. Na’im, Asmah kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
“Kini, Hajah Asmah ditempatkan di ICU Hospital Putrajaya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan Hospital Putrajaya yang bersedia menerima dan merawat beliau dengan penuh profesionalisme dan kasih insan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Na’im dilaporkan berkata, misi membawa pulang Asmah yang dirawat di Mekah akibat pneumonia dimulakan setelah jumlah sumbangan untuk membiayai kos itu, kira-kira RM500,000 mencukupi. – KOSMO! ONLINE
The post Hajah Asmah sudah sampai Malaysia, sambung rawatan di Hospital Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.