Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Tindakan pantas dua pegawai bomba menyelamat seorang wanita yang dibawa arus sebelum tersangkut di tepi semak, berhampiran paya di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor, di sini sememangnya wajar dipuji.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari tadi ketika individu terbabit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Zainudin Abu Bakar, yang juga pegawai bahagian penyiasatan kebakaran Zon 4 (Butterworth) dalam perjalanan pulang menyiasat satu kes kebakaran.
Mereka dilaporkan terserempak dengan dua waris mangsa yang sedang mencari anak mereka di kawasan itu pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang berusia 23 tahun tidak pulang ke rumah sejak semalam namun motosikal yang dia tunggang ditemui di tepi jalan.
Berbekalkan jiwa penyelamat, kedua-duanya segera membantu usaha pencarian sebelum berjaya menemui mangsa kira-kira 100 meter dari motosikalnya dalam keadaan tersangkut di tepi semak berhampiran paya.
Mangsa dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam paya sebelum dihanyutkan arus ke lokasi tersebut.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bersama pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya dihubungi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan pada kaki dan patah tangan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut Ketua Zon 4 JBPM negeri, PgKB II Rosli Zakaria, kepekaan dan keprihatinan dua pegawai tersebut wajar dipuji kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini.
“Ia membuktikan komitmen pasukan bomba sentiasa bersedia, bukan sahaja ketika panggilan kecemasan diterima, tetapi juga dalam situasi harian,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Abang bomba selamatkan wanita hanyut dibawa arus appeared first on Kosmo Digital.