Auto Added by WPeMatico

![]()
SUBANG JAYA – Sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan membabitkan kompaun berjumlah RM35,000 dan rampasan barangan dianggarkan bernilai RM38,000 dikenakan terhadap 17 premis penjualan rokok elektronik di sekitar daerah ini.
Operasi bersepadu tersebut dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Kementerian Kesihatan (KKM) serta Suruhanjaya Syarikat (SSM).
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi melibatkan kekuatan keseluruhan 68 anggota terdiri daripada 17 pegawai dan anggota KPDN Selangor, 40 anggota MBSJ, lima pegawai KKM serta enam pegawai SSM.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik mematuhi perundangan berkaitan, termasuk aspek perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan dan pelesenan premis.
“Hasil pemeriksaan, KPDN Selangor membuka tiga kes di bawah Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022.
“Ia membabitkan kegagalan mematuhi ketetapan berhubung peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak mempunyai tanda sebagaimana ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam operasi sama, KPDN turut mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Timbang Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sementara itu, MBSJ mengeluarkan 14 kompaun atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.
SSM pula mengeluarkan lima kompaun di bawah akta yang dikuatkuasakan agensi itu, manakala KKM mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 18(1)(a) atas kesalahan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.
“Keseluruhan kompaun yang dikenakan dalam operasi berkenaan bernilai RM35,000, manakala nilai anggaran barang dirampas pula mencecah RM38,000.
“KPDN ingin mengingatkan semua peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik agar sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan,” katanya.
Tambah Muhamad Hanif, setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang ditawarkan untuk jualan hendaklah mempunyai perakuan daripada pihak berkuasa yang berwibawa serta ditandakan dengan tanda yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam Jadual.
Tegasnya, KPDN akan terus mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perniagaan disyaki melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN turut diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi kementerian.- KOSMO! ONLINE
The post 17 premis vape diperiksa, RM38,000 barangan dirampas appeared first on Kosmo Online.
