Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berjaya menamatkan kejohanan triatlon Ironman Langkawi dengan catatan masa selama 12 jam 22 minit dan 18 saat sekaligus menuntut janji daripada syarikat pengeluar fesyen tempatan, Primavalet yang akan menyumbangkan RM1 juta untuk Muar.
Beliau menyahut cabaran syarikat tersebut bagi menamatkan disiplin renang 3.8 kilometer (km), berbasikal 190 km, dan maraton 42.2km di bawah masa 13 jam.
Beliau menyatakan, walaupun menghadapi cabaran semasa disiplin larian di mana beliau mengalami kejang kaki lebih 10 kali dan muntah setiap kali mengambil nutrisi, beliau tetap meneruskan cabaran dengan meletakkan penduduk Muar dalam ingatannya.
“Kali pertama (sepanjang menyertai triatlon) setiap kali saya ambil nutrisi tak kisahlah pisang atau gel tenaga, saya akan muntah keluar balik. Tetapi saya tahu penduduk Muar sentiasa dalam ingatan saya dan saya tidak akan menghampakan mereka.
“Sekarang Primavalet mesti menunaikan janjinya, RM1 juta untuk Muar. Komputer riba, bank makanan, baju raya, mereka mesti menunaikan janji,” katanya selepas menamatkan Ironman Langkawi di Pantai Chenang, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, banyak masanya dibazirkan untuk ke tandas tetapi beliau berbangga kerana berjaya mencapai lebih 50 minit perbezaan masa berbanding tahun lalu.
Ahli Parlimen Muar yang berusia 32 tahun itu mencatat masa selama 13 jam 13 minit dan 50 saat bagi kejohanan Ironman Langkawi pada tahun lalu.- KOSMO! ONLINE
The post Syed Saddiq raih RM1 juta untuk Muar, tamatkan Ironman Langkawi bawah 13 jam appeared first on Kosmo Digital.